Post by along on Jul 23, 2005 3:25:56 GMT -5
HARI VALENTINE: Hari Memperingati Kekasih atau... ?
Terdapat berbeza-beza pendapat tentang asalnya Hari Valentine. Sesetengah pakar menyatakan bahawa ia bermula daripada St. Valentine, seorang berbangsa Rom yang mati demi mempertahankan agama Kristian. Beliau meninggal dunia pada 14 Februari 269 A.D. Ada legenda mengatakan bahawa St. Valentine telah meninggalkan nota untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak perempuan seorang pegawai penjara, yang telah menjadi sahabatnya, dan menandatangani nota tersebut dengan kata-kata "Daripada Valentine Anda". Kisah tersebut turut mengatakan bahawa St. Valentine telah berkhidmat sebagai seorang paderi di gereja semasa pemerintahan Maharaja Claudius. Claudius telah memenjarakan Valentine kerana mengingkarinya. Dalam tahun 496 A.D. Pope Gelasius telah memperuntukkan tarikh 14 haribulan Februari bagi menghormati St. Valentine.
Lama-kelamaan, 14 Februari telah menjadi suatu tarikh untuk pasangan-pasangan kekasih berbalas-balas mesej-mesej cinta dan St. Valentine telah menjadi "penaung" kepada mereka yang bercinta. Tarikh tersebut diperingati dengan menghantar puisi-puisi dan hadiah-hadiah yang ringkas seperti bunga dan gula-gula. Perjumpaan sosial atau majlis tari-menari selalu juga diadakan.
Di Amerika Syarikat, Esther Howland telah diberikan penghargaan untuk menghantar valentine yang pertama. Valentine komersil telah diperkenalkan dalam tahun 1800an dan sehingga kini tarikh itu begitu popular.
Sejarah Hari Valentine
Hari Valentine bermula dalam zaman Empayar Rom. Pada zaman purba Rom, 14 Februari merupakan hari cuti bagi menghormati Juno. Juno ialah ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Orang-orang Rom juga mengenalinya sebagai dewi wanita-wanita dan perkahwinan. Hari berikutnya, 15 Februari, bermulalah Pesta Lupercalia.
Pada masa itu kehidupan pemuda-pemuda dan gadis-gadis betul-betul diasingkan. Walaubagaimanapun, salah satu tradisi di kalangan golongan muda pada masa itu ialah cabutan nama. Pada malam pesta Lupercalia, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama seorang gadis dari bekas tersebut dan kemudian menjadi pasangannya sepanjang pesta itu. Kadang-kala pasangan tersebut berkekalan selama setahun, dan selalunya mereka akan jatuh cinta dan kemudian berkahwin.
Di bawah pemerintahan Maharaja Claudius II, Rom telah banyak terlibat dalam kempen-kempen yang tidak disukai dan banyak menumpahkan darah. Claudius yang kejam itu telah menghadapi kesukaran untuk mengerahkan askar-askarnya untuk turut serta dalam liga tenteranya. Dia percaya bahawa sebab utamanya ialah lelaki-lelaki Rom tidak mahu meninggalkan kekasih atau keluarganya. Akibat daripada itu, Claudius II telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan di Rom.
Saint Valentine merupakan seorang paderi di Rom pada zaman Claudius II. Dia dan Saint Marius telah membantu orang-orang Kristian yang mati demi agama dan mengahwinkan pasangan-pasangan secara rahsia. Akibat daripada perbuatannya ini Saint Valentine telah ditangkap dan diheret untuk menghadap Pengawas Rom yang menghukumnya dengan memukul menggunakan belantan sehingga mati dan memenggal kepalanya. Dia telah mati akibat penderitaan itu pada 14 Februari, lebih kurang dalam tahun 270. Pada masa itu telah menjadi adat di Rom (adat yang sangat kuno) untuk meraikan Lupercalia dalam bulan Februari, pesta untuk menghormati dewa pagan. Di pesta itu, di tengah pelbagai upacara jahiliah, nama-nama gadis akan diletakkan di dalam sebuah kotak dan satu nama akan dicabut oleh pemuda mengikut nasib.
Pastor-pastor gereja Kristian terawal di Rom berikhtiar untuk menghapuskan unsur jahiliah di dalam pesta-pesta dengan menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama saints. Ketika Lupercalia hendak bermula pada pertengahan Februari, pastor-pastor telah memilih Hari Saint Valentine untuk meraikan pesta yang baru itu. Jadi nampaknya kebiasaan pemuda memilih gadis untuk valentine, atau "saints" sebagai penaung untuk tahun berikutnya, bermula dengan cara ini.
p/s : Bagi remaja Islam, ketahuilah...apakah sebenarnya yang diraikan sempena Hari Valentine. Fikirkanlah, adakah wajar ia disambut di kalangan masyarakat Islam. Islam ada cara-caranya yang sendiri dalam memperlihatkan kasih sayang dan memilih jodoh. Quran dan Hadis telah memberi garis panduan tentang perkara ini. Wallahualam.